SHAH ALAM, 9 Dis ― Kaum Melayu dan Bumiputera perlu berusaha
lebih kuat untuk menjayakan diri supaya mampu menandingi kaum-kaum lain di
negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
Ini kerana, kata beliau, hakikatnya ketika ini kaum Melayu
dan Bumiputera ramai hidup susah dan menetap di luar bandar meskipun memiliki
kuasa politik.
“Di negara kita sendiri kita telah berundur jauh dari bandar
serta tinggal di luar bandar dan rata-rata kebanyakan daripada kita adalah
keluarga miskin.
“Ya, hari ini kita berkuasa dalam bidang politik, dengan
kuasa ini kita boleh beri sedikit bantuan kepada kaum Melayu, Bumiputera,
fikirkanlah tetapi kalau kita tiada kuasa politik dan kita tidak diberi
keistimewaan bermakna kita akan jadi lebih daif daripada sekarang,” katanya
ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera
(Putra) 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali;
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Belia dan
Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pengerusi Putra Datuk Mohd Rafiq
Naizamohideen dan Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Dr Mahathir menarik perhatian meskipun menetap di negara
sendiri dan diberi bantuan namun kaum Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan
di belakang.
“Selain itu kita lihat orang asing yang dahulunya datang ke
negara kita jauh lebih maju kerana mereka berusaha, mereka bekerja kuat, mereka
belajar dalam pelbagai bidang dan berpelajaran. Kita dapati mereka sekarang
kuasai ekonomi negara kita, apakah sebabnya?
“Apakah orang Melayu bodoh? Saya tidak percaya, kerana
mereka ada kebolehan sama dengan orang lain tetapi kepintaran sahaja tanpa
usaha tidak akan hasilkan kejayaan. Kita cekap, kita pintar, kita pandai tetapi
jika tiada usaha tidak akan berjaya.
“Kalau kita sedar kita ketinggalan dan berasa malu kenapa
ketinggalan di negara sendiri maka tentulah kita akan berusaha untuk menjayakan
diri kaum kita supaya menjadi sama dengan kaum-kaum lain. Kalau kita
ketinggalan di belakang kita kena lari lebih kuat daripada orang di depan,”
katanya.
Perdana menteri dalam pada itu turut mengingatkan kaum
Melayu dan Bumiputera supaya sentiasa bersyukur kerana hidup di negara yang
aman dan harmoni.
Beliau berkata untuk membalas rasa kesyukuran itu, kaum
Melayu dan Bumiputera perlu menjaga negara ini sebaik-baiknya.
“Inilah perasaan yang perlu ada pada kita, yang pertama kena
rasa malu sebab ketinggalan dan kita akan kerja lebih kuat untuk atasi
kelemahan kita. Kalau kita diberi peluang untuk belajar kuasai ilmu, kita kena balas
balik nikmat yang kita terima secara percuma.
“Kedua, perasaan sayang kepada negara mesti ada pada kita.
Kita tidak suruh jadi tentera, tidak suruh berkorban nyawa tetapi hanya suruh
kita berusaha untuk bangunkan negara kita, untuk jaga keamanan di negara ini,”
katanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan penonton mengenai
pendirian kerajaan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr Mahathir berkata
meskipun rakyat negara ini terdiri daripada berbilang kaum namun kejayaan atau
kedudukan setiap kaum itu tidak sama.
Atas faktor itu, perdana menteri berkata negara ini tidak
boleh menerima ICERD.
“Kalau kita tidak beri peluang kepada orang Melayu peluang
lebih daripada kaum lain, kalau kita percaya kita mesti beri apapun secara
sama, equality, maka yang sudah cekap akan lebih berjaya dan tidak cekap jadi
lebih mundur.
“Sebab itu kita tidak boleh terima ICERD kerana ia tidak
beri hak kepada kita untuk membezakan layanan bagi kaum-kaum di Malaysia sebab
mereka tidak berada di taraf yang sama dan kita tidak akan pinda perlembagaan
kita,” katanya.
Pada majlis itu juga, Dr Mahathir dianugerahkan Tokoh Bumiputera
Unggul 2018 atas sumbangannya kepada pembangunan kaum Melayu dan Bumiputera,
dan anugerah itu disampaikan oleh Mohd Rafiq. ― Bernama
No comments:
Post a Comment