Akibat membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbaur ugutan melalui Facebook terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung penjualan aset Tabung Haji, seorang kontraktor didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim M.M.Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Zigan Mohd Tori, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut melalui Facebook ‘Zihan Tori’ pada 8.06 pagi, 18 Februari lepas.
Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 28, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada 2.30 petang, hari sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nor Zigan yang diwakili peguam Sharil Azwan Nizan merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
loading...
"Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan ini adalah kesalahan pertamanya. Tertuduh hanya bekerja sendiri, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan periuk nasinya terjejas. Selain itu, pautan yang dilakukan OKS tiada kaitan dengan agama dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
"Adalah tidak wajar tindakan OKS yang melepaskan rasa tidak puas hati di media sosial kerana tindakannya itu boleh mengancam keharmonian rakyat Malaysia," katanya.
OKS membayar denda tersebut.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment