Ikut sahaja arahan, isytihar harta walau tiada harta - Muhyiddin - MK News

Breaking

MK News

Politik,isu semasa,viral,berita terkini

Windows

Tuesday 11 December 2018

Ikut sahaja arahan, isytihar harta walau tiada harta - Muhyiddin

Foto Berita Harian

“Isytiharlah walaupun tiada harta”.

Demikian nasihat presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada anggota parlimen termasuk dari Pakatan Harapan yang masih belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau, yang juga menteri dalam negeri, berkata isu ini akan selesai jika mana-mana individu yang belum  mengisytiharkan harta berbuat demikian seperti yang diminta dan ditetapkan.

“Bagi saya sendiri, ia sudah selesai (diisytiharkan). Ikutlah jadual yang ditetapkan. Nasihat saya, buatlah walaupun kosong. Senang, letak sahaja tiada harta,” katanya dalam sidang akhbar parti Bersatu di sini hari ini.

Turut hadir, setiausaha agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya dan setiausaha kerja Bersatu pusat Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh akhir bagi anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Sebanyak 13 anggota Parlimen belum mengisytiharkan harta kepada SPRM seperti terdapat di dalam Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/) sehingga 5 petang Ahad.

Ditanya mengenai prestasi menteri-menteri besar di kalangan anggota Bersatu setakat ini, Muhyiddin  mengakui ada yang tidak mempunyai pengalaman dan memerlukan masa untuk menunjukkan kebolehan dan prestasi yang lebih baik untuk dinilai masyarakat dan rakyat.

“Ada yang ok dan tidak ok. Yang pentingnya, mereka mesti faham tugas dan kerja. Kita tahu, sebahagian dari mereka ada yang baharu dan belum ada pengalaman. Ada perkara yang perlu ditambah baik. Rakyat akan membuat penilaian. Kita perlu terima hakikat itu,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Ketika ini, Bersatu mempunyai tiga Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Kedah), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), dan Datuk Osman Sapian (Johor).

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, Anggota Parlimen Pagoh itu berkata, ia membincangkan  perhimpunan agung parti Bersatu pada hujung bulan ini.

Katanya, kira-kira  3,000  perwakilan dari semua sayap dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu pada 28 hingga 30 Dis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jelasnya, selaku presiden, beliau akan merasmikan perhimpunan itu sebelum pembentangan laporan mesyuarat agung oleh pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembentangan usul menyokong ucapan dasar pengerusi.

“Antara (perkara) yang akan dibawa ke perhimpunan itu adalah penjelasan parti berhubung  perjuangan  Melayu dan Bumiputera berikutan kegelisahan yang dibangkitkan sesetengah pihak yang keliru dengan parti,” tambahnya. — Bernama

No comments:

Post a Comment

Loading...
loading...