Najib percaya Cina tak terikat parti, kembali sokong BN - MK News

Breaking

MK News

Politik,isu semasa,viral,berita terkini

Windows

Wednesday 22 June 2016

Najib percaya Cina tak terikat parti, kembali sokong BN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa pemain industri dan sektor swasta di Malaysia untuk meningkatkan penggunaan inovasi dan teknologi bagi mengurangkan pergantungan pada pekerja asing.
Memberikan contoh dalam industri pembinaan, Najib berkata pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), teknik iaitu komponen dibuat dalam persekitaran terkawal atau teknologi robotik telah terbukti berjaya meningkatkan produktiviti.
"Saya ada dengar bahawa perniagaan-perniagaan memerlukan lebih banyak pekerja asing untuk meningkatkan produktiviti, yang akan menjana lebih banyak pendapatan. Jika kita dapat gunakan teknologi yang lebih baik, kita boleh kurangkan pekerja asing.
"Saya mahu syarikat dan sektor swasta memberikan tumpuan dalam meningkatkan produktiviti di masa depan kerana kita perlu bersaing di peringkat lebih tinggi, bukan hanya peringkat kawasan tempatan," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden ACCCIM, Datuk Ter Liong Yap dan Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang, Tan Sri Lim Sing.

Najib menegaskan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap isu dan masalah dibangkitkan sektor swasta dan pemain industri untuk memastikan mereka menerima semua bantuan diperlukan untuk membangunkan perniagaan mereka.
"Dalam pertemuan sebelum ini dengan ACCCIM, anda ada sebut tentang kesulitan dari segi dokumentasi akta antipencatutan dan ini merupakan sesuatu yang kami boleh kaji. Adakalanya birokrasi boleh mengatasi perkara yang betul.
"Saya percaya sebagai sebuah kerajaan, kami perlu mempermudahkan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dan undang-undang yang ada juga patut mempermudahkannya. Saya akan bangkitkan memorandum anda pada mesyuarat Kabinet akan datang.
"Diharapkan dengan saling bekerjasama, kita dapat memastikan perniagaan akan terus maju dan makmur di Malaysia," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada audien.
Najib turut menegaskan akan perlunya komuniti perniagaan Cina dan Bumiputera untuk saling bekerjasama dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan pada masa sama membantu kerajaan mencapai objektifnya untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum.
"Kita tahu orang Cina bijak dalam menjana wang, tetapi anda perlukan kestabilan dan keharmonian yang dapat menarik kedatangan lebih banyak pelabur. Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menjamin itu. Kita terjemahkan konsep 1Malaysia iaitu kita boleh menyertai program perniagaan dan bekerjasama dan berkongsi kekayaan bersama-sama.
"Beritahu kami bagaimana kami dapat lakukannya dengan lebih baik lagi. Saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa saya seorang pendengar yang baik. Saya tidak cakap banyak dan saya akan lakukan yang terbaik dalam apa yang saya lakukan. Mari bekerja bersama-sama. Saya percaya kita dapat lakukan lebih baik lagi dalam tahun-tahun mendatang, Insya-Allah," katanya.
Dalam ucapannya itu, Najib yang juga pengerusi BN turut menyentuh tentang masyarakat Cina yang tampil memberikan sokongan psikologi kepada BN dalam pilihan raya negeri Sarawak pada Mei lepas dan dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu lepas.
Katanya apa yang boleh difahamkan daripada kemenangan BN itu adalah masyarakat Cina telah menunjukkan hasrat untuk menyokong BN, satu-satunya parti yang dapat menjamin perpaduan dalam kepelbagaian di Malaysia, kestabilan dan keharmonian yang amat penting untuk membolehkan perniagaan berkembang maju.
"Saya percaya kebanyakan orang Cina tidak terikat kepada mana-mana parti, dan mungkin berlaku "faktor beralih sokongan" dalam pilihan raya umum akan datang, kepada BN atau sebaliknya.
"Tetapi terdapat petanda positif dalam tahun-tahun kebelakangan ini bahawa rakyat mula sedar bahawa perpecahan politik tanpa objektif dasar yang jelas sedang berlaku dalam parti-parti pembangkang," katanya.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Loading...
loading...